Skuad futsal Sarawak mensasarkan kedudukan teratas dalam saingan 10 pasukan yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2017, minggu hadapan.

Penolong Pengurusnya, Saiful Bahri Ahmad Adibi, berkata pasukan itu telah dibentuk agak lama dan berbekalkan pengalaman dan kejayaan memenangi tempat ketiga Kejohanan Street Soccer Antarabangsa TAFISA di Jakarta, Indonesia pada Oktober lalu, beliau yakin pasukan ini mampu melangkah jauh.

“Kami juga mempunyai beberapa pemain berpotensi termasuk Azlan Shah Tahir yang pernah bermain untuk IPT Malaysia,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan jersi pasukan oleh Lea Sports Centre di Plaza Sarawak di Kuching.

Turut hadir ialah dua Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak, Razali Dolhan dan Datuk Posa Majais.

Ini merupakan penyertaan pertama skuad Sarawak atas nama Persatuan Bolasepak Sarawak ke dalam liga futsal berprestij itu kerana sebelum ini, wakil tunggal negeri adalah daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Sementara itu jurulatih pasukan, Ahmad Media Sharkawi, berharap anak-anak buahnya dapat menyerap tekanan sepanjang kejohanan berlangsung dan berkeyakinan bahawa mereka adalah yang terbaik.

Dalam kejohanan yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Disember ini di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, skuad Sarawak akan bersaing untuk merebut dua slot terakhir dengan pasukan Perlis, Pulau Pinang, Angkatan Tentera Malaysia dan Pulau Pinang MPPP.

Turut bersaing adalah KL Petaling Putra, KL City FC, Pahang Kuantan Rangers FC dan Sabah Quilmes FC.