Ketiadaan padang untuk berlatih kini menjadi isu utama yang membunuh sukan bola sepak di Sarawak.

Pengarah Kejurulatihan Bola Sepak Sarawak, Abdul Wahet Uji, mengakui sendiri akan hakikat ini.

"Usah bercakap tentang pasukan yang terlibat dalam program pembangunan bakat, pasukan senior malah skuad Piala Presiden dan belia pun berhadapan masalah dengan padang.

"Ini menyebabkan mereka terpaksa berlatih seawal jam 3 petang biarpun Kompleks Sukan Sarawak menyediakan dua padang latihan," katanya.

Jelasnya, penggunaan Stadium Negeri pula agak terhad.

"Jika Stadium Negeri digunakan oleh pihak luar, skuad senior Sarawak akan berlatih di Stadium C dan ini menjejaskan pula pasukan junior yang berlatih di sana.

"Ini tidak termasuk skuad Liga FAM, Kuching FA, yang menggunakan padang sama," katanya lagi.

Situasi ini, katanya, berlaku dalam kalangan pasukan yang dikendalikan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

"Bagaimana pula pasukan-pasukan lain yang berbentuk pembangunan dan pencarian bakat?"

Katanya, tidak keterlaluan jika dikatakan Sarawak dianaktirikan daripada aspek infrastruktur sukan ini.

"Sekolah Sukan Tabuan Jaya, misalnya, tidak layak digelar sekolah sukan jika dilihat daripada aspek kelengkapannya.

"Padangnya begitu menyedihkan ... daif," ujarnya.

Abdul Wahet, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kejurulatihan, berkata berbeza dengan sekolah sukan di Semenanjung, ada yang sehingga memiliki tiga padang bola sepak yang berkualiti dan terpelihara rapi.

"Ini perkara asas... baharulah kita bercakap tentang pembangunan sukan bola sepak.

"Bola sepak moden tidak bergantung harap kepada bara ' semangat' semata-mata.

"Ia perlu dilengkapi dengan kemudahan, barulah kita boleh bersaing di peringkat yang lebih kompetitif," hujahnya.

Katanya, beliau sedih melihat kekurangan padang bola sepak di Sarawak, yang kebanyakannya dikorbankan oleh pembangunan.

"Di Kuching sahaja, tolak Kompleks Stadium Negeri, terdapat kurang 15 padang bola sepak yang ada, dengan kebanyakannya perlu disewa sehingga beratus ringgit, namun penyelenggaraannya menyedihkan.

"Jika mencari padang pun susah untuk kita, apatah lagi untuk melihat kanak-kanak bermain dan menguji bakat mereka dalam sukan ini."

Situasi ini, katanya, perlu dilihat serius kerana sukan nombor satu dunia ini, terus diminati dan digilai ramai di Sarawak.

"Kerajaan Negeri perlu memandang serius perkara ini.

"Kembalikan padang-padang komuniti untuk bermain bola sepak tanpa bayaran kerana selain menjadi medan pencarian bakat, ia juga penting untuk mewujudkan masyarakat yang cergas dan sihat," katanya lagi.