Legenda bola sepak Terengganu, Sapian Wahid, tidak dapat menyembunyikan rasa bangganya selepas dipilih sebagai pembantu jurulatih Terengganu FC (TFC) II.

Menyifatkan tugasan tersebut sebagai antara momen manis sepanjang pembabitannya dalam kancah liga tempatan, Sapian berkata dia tidak teragak-agak menerima tawaran itu.

Malah, beberapa tawaran pasukan lain turut ditolak demi kembali menabur bakti kepada negeri Pantai Timur itu dan menjadi pembantu kepada Roshadi Wahab.

"Saya tetap bersyukur dan berbangga apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memerlukan khidmat saya sebagai pembantu jurulatih.

"Kini saya berpeluang membalas budi Terengganu dan berhasrat melahirkan lebih ramai pemain berwibawa," jelasnya yang berasal dari Melaka.

Sapian menjadi legenda Terengganu selepas jaringannya memastikan kejuaraan Piala Malaysia pada 2001 dengan menumpaskan Perak 2-1 di Bukit Jalil.

Lebih menarik, penjaring gol pertama Terengganu, Rosdi Talib, turut membarisi barisan kejurulatihan skuad Liga Super TFC di bawah kendalian Mohd Nafuzi Zain.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)