Santos puas hati Portugal ke pusingan akhir

Oleh Staff Writer 18 November 2018 449
Santos puas hati Portugal ke pusingan akhir
Ketua jurulatih Portugal, Fernando Santos, berpuas hati pasukannya melangkah ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah dengan mengikat Itali seri tanpa jaringan, awal pagi tadi.

Satu mata di Milan itu sudah cukup untuk melayakkan juara Eropah itu ke pusingan akhir di mana mereka akan turut bertindak selaku tuan rumah, tahun depan.

Walaupun tidak berpuas hati dengan persembahan pasukan, Santos lega mereka masih mampu menamatkan saingan selaku pendahulu Kumpulan 3, Liga A.

"Saya berpuas hati.

"Adalah penting untuk layak ke pusingan akhir bagi membuktikan keupayaan negara kami dalam bola sepak.

"Ia perlawanan yang adil dan sukar. Lebih sukar daripada apa yang saya jangkakan.

"Separuh masa pertama amat memeritkan.

"Kami perlu menyesuaikan diri dengan perlawanan dan perlu banyak bertahan.

"Pertahanan yang baik bukan sekadar mengeluarkan bola, kami perlu mengalihkan pihak lawan daripada melakukan serangan.

"Apabila gagal melakukan perkara itu, ia menyukarkan kami untuk bermain.

"Kami mengekalkan posisi bertahan dengan buruk. 

"Apabila memperoleh bola, kami tidak dapat memanfaatkannya," katanya.

Portugal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kumpulan dan akan berdepan Poland yang sudah sah tersingkir dalam perlawanan terakhir, minggu depan. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen