Kelab dari Brazil, Santos, bersedia untuk menawarkan tiket buat Bastian Schweinsteiger meninggalkan Manchester United.

Pemenang Piala Dunia 2014 itu mengharungi musim yang sukar dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pemain tengah itu mengalami kecederaan pada musim pertamanya bersama The Red Devils.

Schweinsteiger masih belum beraksi dalam mana-mana pertandingan musim ini. Dia kini telah menjalani latihan bersama kesebelasan utama dan kelab dilaporkan cuba untuk menjualnya pada Januari nanti.

Santos dilihat sebagai salah satu destinasi bekas pemain Bayern Munich itu, dengan jurulatih pasukan, Dorival Junior, berkata beliau mahu mendapatkan khidmat pemain itu.

"Perancangan saya adalah mahu mendapatkan pemain bertaraf bintang di dalam pasukan, kami cuba mendapatkan pemain dari Eropah yang tidak dapat beraksi bersama pasukan mereka," kata Dorival.

"Schweinsteiger dilihat sebagai pilihan yang bagus. Saya masih belum lagi mencadangkan kepada pihak pengurusan tetapi ini merupakan salah satu langkah mempertingkatkan lagi mutu pasukan."