Soalan yang berterusan dan berulang tentang Cristiano Ronaldo menyaksikan pengurus Portugal, Fernando Santos, hilang kesabaran dalam sidang media.

Ronaldo digantikan dalam dua penampilan terakhir bersama Juventus dan dilaporkan meninggalkan stadium sebelum tamat perlawanan menentang AC Milan, yang menyaksikan penggantinya, Paulo Dybala, menyumbat gol kemenangan.

Dakwaan mengenai Ronaldo tidak gembira menjadi agenda utama ketika Portugal melalui sidang media semalam sambil Ruben Neves menegaskan rakan sepasukannya itu dalam keadaan bagus.

Namun, Santos dilihat tidak lagi mahu menjawab soalan sama dan dia percaya profil pemain itu memberi makna yang besar apabila digantikan sewaktu mewakili Juve.

"Semua orang bercakap tentang Ronaldo dan ingin memberikan pandangan tentangnya," katanya.

"Jika ia melibatkan pemain lain, tiada siapa hiraukannya tetapi kami bercakap tentang perkara ini kerana ia adalah Ronaldo.

"Terdapat berjuta-juta pemain di luar sana tetapi ia seolah-olah hanya berlaku terhadap Ronaldo. Tiada orang lain.

"Ronaldo ada di sini, dia dipanggil, dalam keadaan baik dan dia akan beraksi. Saya tidak meraguinya. Jadi, bagi saya, setakat ini tiada masalah."

Santos kemudian kekal dengan pendiriannya apabila menjawab soalan seterusnya tentang Ronaldo: "Ronaldo lagi? Tidak, maaf, maaf.

"Sekali lagi tentang Ronaldo, saya bercakap mengenai Portugal. Anda bercakap dengan saya tentang Ronaldo. Tidak, saya tidak akan bercakap tentangnya lagi.

"Bagi saya, tema Ronaldo sudah tamat."