PORTO 5 LEICESTER CITY 0

Nuno Espirito Santo melahirkan rasa bangga selepas Porto memastikan kemaraan mereka ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan membelasah Leicester City 5-0 dalam aksi Kumpulan G.


Jaringan daripada Andre Silva, Jesus Corona, Yacine Brahimi dan Diogo Jota di Estadio do Dragao, memastikan tuan rumah menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua di belakang skuad Claudio Ranieri.

Porto -- di kedudukan ketiga dalam Liga Primeira, empat mata di belakang pendahulu, Benfica -- kini hanya menanti undian yang akan dilakukan pada Isnin untuk mengetahui siapakah lawan yang bakal mereka temui di peringkat 16 terakhir, dan Santos pantas memuji aksi yang ditampilkan oleh pemain mudanya.

"Kami bermain dengan baik, kami sedar kepentingan perlawanan ini selepas seri di Copenhagen," katanya.

"Kami menjaringkan gol awal dan ia membolehkan pasukan untuk bermain bola sepak seperti yang kami mahukan. Kami bermain dengan lebih matang.

"Kami berkata selepas perlawanan di Denmark bahawa kami tidak pernah gagal, dan kini kami telah mencapai satu lagi sasaran.

"Yang pertama adalah untuk memenangi perlawanan kelayakan menentang lawan yang sukar seperti Roma. Kami tidak memulakan aksi kumpulan dengan baik, tetapi kami memperbaikinya dan kami adalah antara 16 pasukan terbaik di Eropah. Saya bangga."