MILAN 3 PARMA 1

Stefano Pioli memuji " sang singa", Zlatan Ibrahimovic, dan percaya penyerang itu mampu membantu Milan berkembang selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Parma.


Milan bangkit di San Siro, awal pagi tadi, untuk menduduki tempat ketujuh Serie A, lantas meningkatkan peluang mereka ke peringkat kelayakan saingan Eropah.

Setelah Jasmin Kurtic memecah kebuntuan buat Parma, ledakan Franck Kessie, Alessio Romagnoli dan Hakan Calhanoglu menyaksikan Milan berjaya bangkit.

Ibrahimovic beraksi sepanjang permainan dan Pioli berkata tekad pemain berusia 38 tahun itu telah memacu kemenangan Milan.

"Dia menuntut aksi maksimum terhadap dirinya sendiri dan daripada yang lain," kata pengurus Milan itu kepada Sky Sport Italia.

"Dia sedar bahawa pasukannya sedang berkembang dan dia memberikan yang terbaik kemudian dia menjadi singa di atas padang. Dia menjadi sangat marah, kadang-kadang hilang kawalan, tetapi kanu tahu apa yang sedang dilakukannya.

"Kemarahannya yang ditunjukkan adalah daripada sudut yang positif. Tekadnya telah membangkitkan kami dan semakin meningkat.

"Kekuatan mental pasukan telah meningkat, kami lebih sedar mengenai kualiti yang dimiliki sendiri."




Milan ketinggalan sebelum Kessie menghasilkan detik magis yang menyaksikan pemain berusia 23 tahun itu melepaskan satu tendangan deras untuk mengimbangi kedudukan.

Ia gol liga keempatnya musim ini dan tidak hairanlah Pioli menyatakan kegembiraannya terhadap pemain tengah itu.

"Dia dan saya mengalami beberapa kesulitan dalam hubungan, kini kami saling memahami dengan lebih baik lagi," katanya.

"Saya rasa adalah sangat penting untuk memanfaatkan keupayaan pemain secara maksima. Dia terbukti menjadi pemain yang sangat bernilai tinggi."

Milan akan kembali beraksi Ahad ini dengan menjadi tuan rumah kepada Bologna.