Sang Badak mengambil peluang cuti saingan liga ini bagi mengadakan beberapa aksi persahabatan, termasuk bertemu pasukan pilihan KDM Labuan, Sabtu depan.

Skuad kendalian Jelius Ating itu akan ke Labuan bagi perlawanan itu dengan sesi pemanas badan untuk perlawanan terakhir bertemu Negeri Sembilan di Stadium Likas, 27 Oktober depan.

"Setakat ini, hanya itu (perlawanan persahabatan dengan Labuan) yang telah disahkan.

"Selain itu, kami menjalani latihan seperti biasa, termasuk membentuk pasukan dalam kalangan pemain untuk latihan kecergasan perlawanan," kata Jelius ketika ditemui.

Beliau berharap kunjungan ke Labuan itu akan memberi mereka peluang untuk menguji keberkesanan taktikal Sabah.

Sabah kembali berlatih beberapa hari lalu selepas berehat seminggu sejurus aksi terakhir menentang Kuala Lumpur di tempat lawan, 26 September lalu.

Jelius berkata semua pemain hadir pada hari pertama latihan, termasuk Maxsius Musa dan Azzizan Nordin, yang sebelum ini dibelenggu masalah kecederaan kaki.

"Maxsius sudah berlatih bersama pemain lain manakala Azizan menjalani latihan ringan. Saya harap semua pemain berada di tahap terbaik apabila kita menamatkan jadual menentang Negeri Sembilan nanti.

"Kami hanya tidak dapat senaraikan Umai (Ummareng Bacok) dalam perlawanan terakhir itu kerana menjalani penggantungan satu permainan," katanya.

Beliau berkata Sabah perlu membuat persiapan sebaik-baiknya dan menetapkan dalam minda bahawa ia tetap penting untuk memenangi perlawanan terakhir itu.

"Kami sudah capai kedudukan tertinggi yang mampu dicapai musim ini dan kami mahu pertahankannya.

"Jaminan untuk pertahankan kedudukan itu adalah dengan memenangi perlawanan terakhir itu kerana PDRM hanya dua mata di bawah Sabah," katanya.

Sabah kini di tangga ketujuh selepas mengumpul 27 mata daripada 21 perlawanan dengan rekod lapan menang, tiga seri dan 10 kalah.