Kingsley Coman menegaskan dia tidak berdepan masalah dengan prospek kehadiran Leroy Sane untuk memberi saingan kepadanya di Bayern Munich.

Sane merupakan sasaran jangka panjang Bayern tatkala pemain sayap Manchester City itu dilaporkan mahu menyertai gergasi Jerman itu.

Perpindahan gagal dilengkapkan pada awal musim ini selepas Sane mengalami kecederaan lutut dalam aksi Perisai Komuniti menentang Liverpool, Ogos lalu, sehingga menyebabkan dia terlepas keseluruhan saingan setakat ini.

Baru-baru ini, Presiden Bayern, Herbert Hainer, menyambung usaha untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 24 tahun itu yang memiliki baki kontrak setahun di City.

Kehadiran Sane bakal memberikan saingan buat Serge Gnabry dan pemain Perancis, Coman, untuk posisi sayap tetapi bekas pemain Juventus itu tidak menghiraukan cabaran tersebut.

"Sewaktu hadir ke Bayern, kami mempunyai Franck Ribery, Arjen Robben, Douglas Costa serta diri saya sendiri. Saya masih muda pada waktu itu untuk dibandingkan dengan legenda seperti Robben dan Ribery," katanya.

"Anda boleh lihat ia tidak menjadi masalah kepada saya. Bagus untuk pasukan jika ramai pemain di tahap ini.

"Jika Sane tiba, ia bukan satu masalah kecuali jika kelab memberitahu tidak lagi memerlukan saya tetapi saya fikir kelab tahu kemampuan yang dimiliki.

"Situasi Sane tidak berkaitan dengan masa depan saya."