Leroy Sane berharap dapat membawa prestasi cemerlangnya di Manchester City ke peringkat antarabangsa bersama Jerman.

Pemain sayap berusia 22 tahun itu telah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan untuk skuad Pep Guardiola itu musim ini selain turut membuat 11 bantuan gol untuk membawa City menghampiri gelaran Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun, Sane belum menemui jaring dalam 10 penampilan untuk negaranya dan bersedia membuka koleksi golnya apabila juara dunia bimbingan Joachim Low itu menghadapi Brazil di Berlin, Rabu ini.

"Saya sentiasa cuba menunjukkan diri ketika (situasi) satu lawan satu dan membuka ruang," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya berharap dapat membuktikannya dalam perlawanan-perlawanan pasukan kebangsaan.

"Jurulatih akan menyiapkan kami dengan baik untuk bertemu pihak lawan. Brazil semakin kuat dan mempunyai pasukan yang sangat kuat walaupun tanpa Neymar.

"Setiap daripada kami bersemangat untuk bermain menentang Brazil -- dan sudah tentu kami mahu menang," katanya.

Jerman membelasah negara tuan rumah, Brazil, 7-1 dalam laluannya untuk menjulang Piala Dunia pada 2014 dan Sane adalah salah seroang pemain berbakat dalam generasi baru yang muncul sejak kejayaan itu, dengan barisan eksperimen mereka memastikan kejuaraan Piala Konfederasi tahun lalu.

"Pasukan kebangsaan Jerman menghasilkan pemain yang sangat baik," kata Sane.

"Kami mempunyai gabungan pemain tua dan muda. Jika salah seorang pemain muda itu ditugaskan, dia dapat menangani tekanan dan membantu pasukan."

Sementara itu, Ilkay Gundogan juga menyuarakan pendapat dengan menganggap rakan sepasukan di City itu mempunyai keupayaan untuk memberi impak besar dalam Piala Dunia Russia 2018.

"Kelajuan Leroy (Sane) dengan bola adalah terbaik," kata Gundogan. "Dia telah membuktikannya beberapa kali musim ini.

"Dia memberi tumpuan kepada perkara-perkara penting. Dia sekali lagi membuat lonjakan besar musim ini."