Niko Kovac yakin Leroy Sane mampu mempertingkatkan mutu skuad Bayern Munich jika dia menyertai kelab Bavaria itu daripada Manchester City.

Sane telah dikaitkan dengan juara Bundesliga itu selepas persaraan pemain sayap berpengalaman, Arjen Robben dan Franck Ribery, pada penghujung musim lalu.

Pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge, mendedahkan beliau berharap dapat memeterai perpindahan tersebut, dengan Sane dijangka bakal membuat keputusan mengenai masa depannya dalam masa terdekat.

Pengurus Bayern, Kovac, yang tidak meragui pasukannya bakal diperkuatkan dengan pemain berbakat, berkata dalam sidang media semalam, "Dia semestinya dapat membantu kami. Dia telah membuktikan kebolehanya bersama skuad kebangsaan dan City."

Rombakan jentera serangan menjadi agenda utama Kovac sebelum musim baru bermula, dengan pemain sayap Barcelona, Ousmane Dembele, turut berada dalam radar Bayern.

"Dia seorang pemain yang berkualiti. Kami sedang fokus untuk memperbaiki jenteran serangan kerana ketiadaan Robben dan Ribery harus digantikan secepat mungkin.

"Dalam posisi nombor 6, kami mempunyai Joshua Kimmich dan Thiago Alcantara.

"Sasaran musim ini sangat tinggi. Kami perlu mempertahankan dua kejuaraan yang diraih musim lalu di samping beraksi dengan lebih cemerlang di Eropah," tambahnya.

Kovac, bagaimanapun, menjelaskan bukan satu tugas mudah untuk mengetepikan saingan daripada kelab-kelab LaLiga dan Liga Perdana Inggeris yang dibarisi pemain bertaraf dunia.

"Ia bukan lagi saingan antara kelab. Kami perlu bersaing berdepan negara, berdepan ahli jutawan.

"Kelab memiliki wang untuk dibelanjakan dalam jendela perpindahan tetapi sukar menarik pemain berhijrah ke Bundesliga."