Alex Sandro mahu bermain dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya perlu menunggu terlebih dahulu.

Chelsea dan Manchester United telah dikaitkan mahu mendapatkan khidmat bek kiri Juventus itu dan terdapat spekulasi yang mencadangkan kelab dari London itu sudah bersedia untuk melakukan bidaan Januari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang berada di England bersama skuad Brazil yang meraih kemenangan 1-0 ke atas Cameroon, memberitahu wartawan bahawa dia masih lagi gembira di Juve buat masa ini.

"Saya berasakan satu hari nanti, penghijrahan ke England mungkin berlaku. Saya memiliki keingingan untuk bersaing dalam EPL," kata Sandro.

"Buat masa ini, saya gembira bersama Juve, bersaing dalam Serie A.

"Saya akan terus memberikan yang terbaik untuk kelab saya."

Sandro menyertai Juventus dari Porto pada 2015 dan telah memenangi tiga gelaran Serie A berturut-turut serta dua trofi Coppa Italia di bawah pimpinan Massimiliano Allegri.