SCHALKE 1 BORUSSIA DORTMUND 2

Bintang Borussia Dortmund, Jadon Sancho, mendedikasikan jaringan kemenangannya dalam aksi 'Revierderby' saingan Bundesliga bertemu Schalke kepada mendiang neneknya.


Pemain remaja itu menjadi pencetak gol termuda Dortmund dalam aksi 'derby' ketika dia meledak gol kemenangan 2-1 di Gelsenkirchen, awal pagi tadi.

Thomas Delaney meletakkan Dortmund di hadapan ketika permainan baru mencecah tujuh minit -- jaringan terpantas dalam aksi 'derby' itu dalam tempoh 19 tahun -- namun Schalke mengikat kedudukan selepas Marco Reus memberikan penalti kepada lawan dalam separuh masa kedua yang disempurnakan Daniel Caligiuri.

Ia merupakan tahun terhebat buat Sancho yang baru berusia 18 tahun apabila mempamerkan perkembangan pesat dalam kempen sulung bersama Dortmund musim ini selain menerima panggilan pertamanya untuk membarisi skuad senior England.

Begitupun, dia mendedahkan mempunyai perasaan bercampur-baur dalam kemenangan terbaru Dortmund itu selepas mengharungi minggu yang sukar secara peribadi.

"Saya berasa hebat untuk merakamkan gol kemenangan dalam aksi 'derby' sebesar ini," tulis Sancho di Twitter. "Ia merupakan usaha keras daripada semua pemain dan kakitangan.

"Setelah mengharungi tempoh seminggu yang sukar, saya ingin mendedahkan bahawa jaringan saya ini ditujukan khas buat nenek saya! Saya sayang anda selama-lamanya!

"Saya tahu awak akan tersenyum kepada saya!"

Sancho menyumbangkan lima gol serta enam bantuan gol untuk pasukan kendalian Lucien Favre itu selesa memimpin Bundesliga dengan sembilan mata di depan juara bertahan, Bayern Munich.