BAYERN MUNICH 4 BORUSSIA DORTMUND 0

Jadon Sancho digantikan pada minit ke-36 ketika Borussia Dortmund tewas besar kepada Bayern Munich kerana dia tidak cukup bagus, kata pengurus skuad Die Borussen itu, Lucien Favre.


Pemain kebangsaan England itu digantikan oleh Raphael Guerreiro sebaik Dortmund ketinggalan 0-1, yang mendorong kepada kekalahan 0-4 di Arena Allianz awal pagi tadi.

Pertukaran itu menimbulkan persoalan mengenai kecederaan paha yang dialaminya, namun Favre menjelaskan bahawa keputusan itu hanya berdasarkan aspek taktikal semata-mata.

"Dia cedera selama beberapa hari dan tidak dapat berlatih," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Dia sudah mula berlatih semalam tetapi saya fikir anda dapat lihat bahawa dia tidak cukup bagus hari ini.

"Dia bukannya cedera," katanya.

Robert Lewandowski menjaringkan gol berganda ke atas bekas pasukannya itu manakala Serge Gnabry turut menemui sasaran sebelum Mats Hummel menjaringkan gol sendiri pada lewat perlawanan "Klassiker" itu.

Sebelum ini, Dortmund turut dibelasah 5-0 oleh Bayern dalam kunjungan terakhir mereka ke laman skuad Bavaria itu dan Favre mengakui prestasi pasukannya menjadi pendorong kepada kekalahan terbaru itu.

"Saya perlu katakan bahawa amat jelas, kami tidak berada di tahap yang sepatutnya.

"Ia prestasi yang amat-amat lemah.

"Anda dapat lihat, ia usaha yang amat-amat sedikit daripada kami," tambahnya.

Ditanya sama ada dia lebih kecewa dengan prestasi pasukannya berbanding keputusan perlawanan itu, Favre memberikan respons: "Prestasi kami, ia agak jauh ke belakang.

"Kami boleh tewas hari ini tetapi bukan seperti ini."