Jadon Sancho terus mencuri tumpuan dengan pemain muda itu kini dinobatkan Pemain Terbaik Bundesliga bagi bulan Oktober.

Sancho merupakan tonggak yang membantu Borussia Dortmund menerajui carta liga selepas menjaringkan empat gol serta enam bantuan jaringan setakat ini.

Bulan lalu merupakan waktu paling produktif buat penyerang berusia18 tahun itu sejak tiba daripada Manchester City pada Ogos 2017.

Dia turut mengikat kontrak baru bersama Dortmund, awal bulan ini.

Sancho kerap diturunkan sebagai pemain gantian pada awal musim ini, namun dia bermula sebagai kesebelasan utama dalam ketiga-tiga perlawanan Bundesliga buat Dortmund sepanjang bulan lalu.

Dia menjaringkan dua gol ketika mengikat seri Hertha Berlin dan mencatat sejarah selaku pemain termuda menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan Bundesliga selain turut membuka jaringan ketika kemenangan 4-0 Dortmund ke atas Stuttgart.

Sancho menewaskan lima calon lain seperti Sebastien Haller, Marcel Halstenberg, Jonas Hofmann, Luka Jovic dan rakan sepasukan, Achraf Hakimi.