Jurulatih Chile, Juan Antonio Pizzi, berharap pasukannya boleh menampung ketiadaan Alexis Sanchez sambil menegaskan penyerang itu akan kekal bersama pasukan kebangsaan.

Bintang Arsenal itu sedang bergelut dengan kecederaan otot dan akan terlepas perlawanan Chile menentang Colombia dalam kelayakan Piala Dunia, malam ini.

Pizzi, yang pasukannya berada di kedudukan kelima dalam kumpulan, berkata dia sedang mempertimbangkan pilihan yang ada untuk menggantikan Sanchez -- yang mempunyai tiga gol dalam kempen kelayakan itu.

"Dia merupakan pemain yang sangat penting tetapi kami sedang berusaha untuk mencari penggantinya," katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Ketiadaan Sanchez adalah satu realiti yang perlu dihadapi tetapi kami bergantung kepada satu pasukan."

Pizzi berkata Sanchez kini telah berada di Santiago untuk menjalani sesi pemulihan dan bukannya membuat perjalanan ke Barranquilla.

Laporan mengatakan Arsenal mahu Sanchez kembali ke kelab itu tetapi Pizzi berkata pemain berusia 27 tahun itu akan kekal di Chile.

"Dia semakin pulih dan akan terus bersama La Roja," katanya.

Chile bakal menghadapi Colombia dan diikuti dengan pertemuan menentang Uruguay di Santiago pada Selasa depan.