Juan Antonio Pizzi memuji Alexis Sanchez yang menjaringkan dua gol, sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia, walaupun ketua jurulatih Chile itu lebih gemar memberi tumpuan kepada usaha kolektif skuadnya selepas mereka bangkit untuk menewaskan Uruguay.

Sanchez kembali ke kesebelasan utama dan menjaringkan kedua-dua gol pada separuh masa kedua ketika Chile bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Uruguay 3-1 dalam kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan di Nacional Julio Martinez Pradanos, Santiago, awal pagi tadi.

Bintang Arsenal berkenaan sebelum ini terlepas aksi tanpa jaringan di Colombia minggu lalu kerana masalah otot tetapi mengatasi kecederaan itu dan memberi inspirasi kepada juara Amerika Selatan itu untuk meraih kemenangan, menjadikan jumlah jaringan antarabangsanya kepada 36 gol -- hanya kurang satu gol berbanding rekod sepanjang zaman yang dipegang Marcelo Salas.

"Individu bercakap untuk diri mereka sendiri," kata Pizzi kepada pemberita selepas perlawanan. "Alexis (Sanchez) adalah antara pemain terbaik di dunia.

"(Tetapi) saya lebih gemar untuk memberi tumpuan kepada kekuatan kumpulan. Inilah yang membolehkan kami menghidupkan permainan."

Chile terpaksa mencari kemenangan dengan cara yang sukar menentang pasukan di tempat kedua zon Amerika Selatan, Uruguay.

Chile ketinggalan pada minit ke-17 menerusi jaringan Edinson Cavani tetapi Eduardo Vargas menanduk masuk gol penyamaan sejurus sebelum rehat.

Chile enggan menoleh ke belakang apabila Sanchez menjaringkan dua gol dalam tempoh 16 minit manakala Claudio Bravo menyelamatkan sepakan penalti lewat Luis Suarez untuk membantu skuad Pizzi mengatasi Colombia, ke kedudukan keempat selepas 12 pusingan.

Pizzi menambah: "Kami menghargai usaha peribadi, tetapi saya rasa hari ini pujian besar yang menterbalikkan keputusan adalah berdasarkan hasil usaha kolektif.

"Semua memahami bagaimana untuk menyelesaikan perkara dengan melakukannya bersama-sama. Kadang-kadang beberapa (Individu) menonjol seperti Claudio, Eduardo, Alexis.

"Pada babak kedua, kami adalah pasukan yang lebih baik. Kami menemui rentak walaupun saya rasa ia adalah satu permainan yang sengit.

"Pasukan tahu untuk membina kekuatan mereka. Kami mempunyai personaliti dan pengalaman untuk bertenang. Kami tahu pemain kami boleh membuat pilihan. Itu apa yang berlaku."

Chile kini berada satu mata di hadapan skuad di tempat kelima, Argentina, dan tiga di belakang Uruguay.