Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli, memuji Lionel Messi dengan mencabar pasukannya mencapai tahap seperti pemain bintang itu ketika mereka berdepan Ecuador bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2018, awal pagi esok.

Skuad bimbingan Sampaoli itu memerlukan kemenangan untuk melepasi peringkat kelayakan Piala Dunia di Quito untuk mengesahkan tempat ke perlawanan play-off.

Messi merakamkan empat gol sepanjang sembilan aksi kelayakan kempen ini tetapi jaringan terakhir dilakukannya pada Mac lalu, iaitu ketika di bawah asuhan bekas jurulatih, Edgardo Bauza.

Bagaimanapun, Sampaoli memuji tonggak Barcelona itu dan berkata kini terpulang kepada rakan sepasukan pemain berusia 30 tahun itu untuk mencapai tahap sepertinya.

"Dalam tiga perlawanan itu, Messi memukau dengan komitmen dan tekanan kepada lawan yang dipamerkannya," ujarnya dalam sidang media hari ini.

"Kalau kami berada di tahap Messi, permainan akan berjalan lancar."

Sampaoli masih tidak pasti siapa yang akan diturunkan sambil mengetepikan soal altitud di Quito.

Jurulatih berusia 57 tahun itu berkata dia akan menerima apa jua keputusan.

"Dalam situasi ini, saya akan berasa gembira jika kami meraih kemenangan sekalipun kami tidak berhak," kata Sampaoli lagi.

"Saya harap matlamat pusingan kelayakan ini akan tercapai kerana selain daripada angka, Argentina sememangnya layak."

Argentina (25 mata) menduduki tangga keenam, namun kemenangan akan memastikan mereka memintas Colombia (26 mata) atau Peru (25 mata) yang akan bertemu di Lima.

Kemenangan akan memastikan setidak-tidaknya tempat ke play-off buat anak buah Sampaoli, dengan Uruguay (28 mata), Chile (26 mata) dan Paraguay (24 mata) turut mengintai untuk mengesahkan tempat.

Brazil telah layak apabila kedudukannya dalam zon kelayakan CONMEBOL tidak lagi boleh digugat.