Pengendali Argentina, Jorge Sampaoli, kekal yakin untuk mara ke Piala Dunia selepas hanya seri tanpa jaringan dengan Peru, awal pagi tadi.

Lionel Messi mempamerkan magis di Buenos Aires tetapi pasukan tuan rumah itu gagal meledak sebarang gol.

Keputusan itu meletakkan Argentina di tangga keenam -- di luar daripada senarai pasukan untuk melayakkan diri menjelang pertemuan terakhir berdepan Ecuador, Selasa ini.

Begitupun, Sampaoli kekal yakin skuadnya masih berpeluang untuk ke Russia 2018, dengan Colombia dan Peru, yang berada di kedudukan keempat dan kelima, akan bertemu dalam perlawanan terakhir.

"Saya yakin bahawa kami akan menempah slot ke Piala Dunia," kata Sampaoli.

"Ia merupakan satu perlawanan yang baik (dengan Peru). Kami hanya gagal menjaringkan gol. Saya berharap untuk pasukan kami memberikan yang terbaik dalam aksi akan datang.

"Pemain-pemain tidak berputus asa, malah berusaha sebaik mungkin untuk meraih kemenangan," katanya.

Sampaoli memuji persembahan Messi, dengan menyatakan bintang Barcelona itu tidak bernasib baik apabila sekadar meledak empat gol dalam sembilan perlawanan kelayakan musim ini.

"Messi telah bermain dengan baik, mencipta peluang dan melakukan hantaran-hantaran yang kemas."

Kemenangan ke atas Ecuador memadai buat Argentina untuk layak ke aksi play-off nanti.