Lionel Messi kini berada dalam keadaan terbaik secara fizikal dan mental untuk menguatkan cabaran Argentina dalam usaha memenangi Piala Dunia 2018, kata Jorge Sampaoli.

Skuad La Albiceleste itu kini bersiap sedia untuk menentang Iceland, Croatia dan Nigeria di peringkat Kumpulan D, Piala Dunia 2018 bagi meraih pencapaian lebih baik berbanding naib juara ketika aksi empat tahun lalu.

Sebelum ini, Messi hadir ke pentas Piala Dunia 2014 di Brazil berbekalkan kecergasan yang tidak sepenuhnya susulan kempen yang sukar di bawah bimbingan Gerardo Martino di Barcelona.

Bagaimanapun, pemain bintang itu kini berada dalam keadaan terbaik selepas menjuarai LaLiga pada musim ini, sekali gus memberikan Sampaoli keyakinan ketika menamakan senarai 23 pemain, semalam.

"Saya telah bercakap dengan Messi dan mendapati dia sangat gembira dengan cabaran mendatang. Secara fizikal, dia berada dalam keadaan terbaik," kata pengendali itu.

Dalam masa sama, Sampaoli turut menegaskan rakan sepasukan Messi yang juga merupakan penyerang Manchester City, Sergio Aguero, telah cergas sepenuhnya walaupun sebelum ini berdepan masalah kecederaan lutut sejak April lalu.

"Aguero beraksi secara normal sejak minggu lalu. Gabriel Mercado tampak tidak berdepan sebarang masalah dan kita akan tahu bagaimana keadaan Lucas Biglia apabila dia tiba nanti," ujarnya.

Dalam masa sama, Sampaoli turut yakin sepenuhnya bahawa anak buahnya mampu menyinar dalam kejohanan kali ini dan bercadang untuk memilih pemain yang mampu mengatasi tekanan tinggi ketika beraksi di pentas besar.

"Aksi Piala Dunia kali ini perlu dihadapi tanpa ketakutan dan sesiapa yang tampak lebih meyakinkan akan lebih mudah disenaraikan dalam kesebelasan utama.

"Jika kami beraksi di tahap terbaik, kami mampu menjadi lawan yang sukar buat semua pasukan," katanya lagi.