Setiap pasukan yang bergelut dengan prestasi pasti memerlukan seorang individu untuk dipersalahkan dan buat Argentina, insan itu adalah pengurus pasukan, Jorge Sampaoli.

Menurut Vavel.com, pemain-pemain Argentina akan memilih sendiri nama untuk memperkuatkan skuad menjelang aksi menentang Nigeria, awal pagi Rabu ini, sekali gus menyaksikan Sampaoli tidak lagi berkuasa dalam membuat keputusan.

Setakat ini, selepas mengharungi dua perlawanan di Russia, Argentina sekadar mengutip satu mata selepas diikat 1-1 oleh Iceland sebelum dimalukan 3-0 oleh Croatia.

Lionel Messi gagal mempamerkan persembahan yang sama cemerlang seperti sewaktu beraksi bersama Barcelona, setelah tidak berjaya menjaringkan sebarang gol, termasuk gagal memanfaatkan peluang menerusi sepakan penalti ketika berdepan Iceland.

Argentina mesti menundukkan Nigeria untuk mencerahkan peluang melepasi saingan peringkat kumpulan kerana sehingga kini, mereka menduduki tangga terbawah Kumpulan D dengan satu mata dan dibolosi lebih tiga gol berbanding jaringan yang dicipta.

Sampaoli tidak menurunkan bintang Juventus, Paulo Dybala, dalam kesebelasan utama untuk kedua-dua perlawanan sebelum ini dan penyerang itu dijangka terlibat dalam pertukaran untuk aksi pada Rabu ini, bersama-sama rakan sepasukannya di Itali, Gonzalo Higuain.

Ketika saingan kelayakan Piala Dunia, Argentina nyaris terlepas tiket ke Russia sebelum jaringan hatrik Messi dalam perlawanan kelayakan terakhir menentang Ecuador, membolehkan mereka mengesahkan tempat dalam Piala Dunia 2018.

Tatkala pemain-pemain skuad La Albiceleste itu dilihat mempamerkan aksi yang kurang bersemangat dan tidak bermaya, Sampaoli tampak dipersalahkan di atas kegagalan Argentina.