Pengarah Sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic, enggan mengetepikan peluang gergasi Bundesliga itu untuk memancing bintang muda Ajax, Frenkie de Jong.

De Jong unggul ketika beraksi untuk Belanda dan kelabnya musim ini, dengan prestasi pemain berusia 21 tahun itu menarik minat kelab elit Eropah.

Laporan muncul Jumaat lalu yang mengaitkan Paris Saint-Germain (PSG) turut dalam perlumbaan untuk menandatangani De Jong, namun Salihamidzic mendedahkan Bayern, yang mengalahkan Nurnberg 3-0 semalam, turut berminat.

"Dia merupakan pemain yang bagus, itu tidak syak lagi," kata Salihamidzic kepada wartawan.

"Saya mengenalinya sejak sekian lama. Dia telah mencapai kemajuan dengan baik dan beraksi hebat bersama Belanda dan Ajax.

"Nanti kita lihatlah sama ada dia akan pergi ke Paris atau tidak."

De Jong menafikan khabar angin yang mendakwa perpindahan bernilai tinggi ke PSG sudah lengkap sambil menegaskan belum ada kesepakatan yang dicapai.

"Satu-satunya perkara yang boleh saya katakan ialah tiada kata sepakat telah dipersetujui," De Jong memberitahu De Telegraaf.

"Tiada keputusan rasmi telah dibuat. Jadi, sementara tiada perpindahan, tumpuan utama saya terarah kepada Ajax.

"Saya tidak boleh berasa bimbang untuk mengatakan 'saya akan ke sini atau ke sana'. Tindakan ini tidak mencerminkan tanda hormat saya terhadap Ajax atau rakan sepasukan."