AC MILAN 3 SAMPDORIA 2

Gennaro Gattuso berbertanggungjawab di atas kekalahan AC Milan, namun mendakwa beliau masih memiliki sokongan daripada pasukannya selepas mencipta kemenangan yang sangat diperlukan ke atas Sampdoria.


Jaringan menarik Suso membantu Rossoneri mencatat kemenangan 3-2 dalam aksi Serie A di San Siro awal pagi tadi selepas membenarkan Samp bangkit untuk mendahului perlawanan 2-1 menerusi gol dan peluang yang dicipta bekas pemain tengah Milan, Riccardo Saponara.

Milan tewas dalam dua aksi terdahulu yang secara tidak langsung meningkatkan tekanan ke atas Gattuso berikutan masa depannya menjadi tajuk spekulasi sejak awal musim ini.

Bagaimanapun, pengurus Milan tersebut berada dalam suasana ceria selepas pasukannya hanya dijarakkan tiga mata daripada slot Liga Juara-Juara (UCL) berkat kemenangan ke atas Sampdoria itu.

"Tahniah kepada barisan pemain saya. Merekalah yang berhempas-pulas di atas padang," kata Gattuso dalam sidang akhbar. "Benar, apabila kami tidak menang, kesalahan terletak kepada jurulatih.

"Sekiranya saya mendapati para pemain tidak lagi mengikuti arahan saya atau hubungan saya dengan kelab bermasalah, maka saya akan mengambil langkah mengundur diri.

"Tetapi, saya tidak akan melakukannya kerana saya tahu pasukan mengikuti arahan saya dan saya akan terus bekerja keras memandangkan pasukan dan kakitangan mengikuti arahan saya.

"Kami boleh terus berkembang tetapi wujud terlalu banyak tekanan. Saya sering mendengar khabar angin, jadi saya perlu bertenang.

"Sukar untuk berlatih tetapi saya menjalani hidup dengan baik, saya bukannya melatih kelab kecil, saya gemar bercakap mengenai bola sepak.

"Kami mesti mempunyai kesinambungan, kami harus melakukan segala-galanya untuk memulihkan kedudukan dalam liga," katanya.

Milan akan menyambut Genoa pada pertengahan minggu ini, dengan anak buah Gattuso berpeluang untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan di atas mereka kerana mempunyai kelebihan satu perlawanan.

"Sukar untuk menjelaskannya, ini kemenangan penting," kata Gattuso mengenai mentaliti pasukannya.

"Perlawanan pada Rabu ini (awal pagi Khamis) akan menjadi lebih penting lagi.

"Kami perlu membuat persediaan yang baik."