Salah bantu Mesir tamatkan kemarau 28 tahun

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2017 6407
Salah bantu Mesir tamatkan kemarau 28 tahun
MESIR 2 CONGO 1

Didier Drogba memuji bekas rakan sepasukannya, Mohamed Salah, selepas bintang Liverpool dan Mesir itu membantu negaranya untuk beraksi dalam Piala Dunia buat kali pertama sejak 28 tahun lalu.


Gergasi Afrika, Mesir, tidak membuat penampilan dalam Piala Dunia sejak 1990 tetapi Salah mengakhiri kemarau tersebut hasil jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-95 untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Congo.

Salah membuka jaringan pada minit ke-60 tetapi pasukan lawan berjaya menyamakan kedudukan hasil percubaan Arnold Bouka Moutou tiga minit sebelum perlawanan berakhir. 

Bekas pemain Chelsea itu  memastikan Mesir menamatkan kemarau 28 tahun untuk beraksi dalam Piala Dunia dengan menjaringkan sepakan penalti untuk membawa Mesir ke Russia, tahun depan.
Drogba turut meluahkan rasa bangga dengan usaha Salah untuk membantu negaranya ke Piala Dunia menerusi laman Twitter: "Saya sangat berbangga dengan Salah, anda telah menjadi seorang pemain yang berpengaruh untuk negara dan mengingatkan kepada diri saya ketika membantu Ivory Coast ke Piala Dunia pada 2006."
Russia 2018 bakal menjadi penampilan ketiga Mesir dalam Piala Dunia walaupun tidak pernah memenangi sebarang perlawanan dalam kejohanan itu pada edisi 1934 dan 1990.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen