Pemain projek Pembangunan Bola Sepak Negara Malaysia (NFDP) SMK Ibrahim
Fikri, Terengganu, Saif Adam Iskandar Mohd Hafsyam menjuarai Cabaran Timbang
Bola Yakult KB City League sekaligus melayakkannya memenangi ganjaran wang
tunai RM500 dan sehelai jersi Yakult Tiger.


Pemain kelahiran Kedai Kok Lanas, Kota Bharu yang berusia 16 tahun berjaya
melakukan 105 kali timbangan bola dalam masa 30 saat dengan memegang botol
Yakult di tangan.

Penasihat Yakult KB City League, Mohd Zuki Deraman berkata, pertandingan yang
dicetuskan oleh Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada ini ditujukan
kepada seluruh rakyat Kelantan dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
Tujuannya supaya mereka terus melakukan aktiviti bersukan di rumah masing-
masing biarpun negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB).

“Tahniah kepada pemenang utama, Saif Adam Iskandar dan pihak juri juga telah
memilih 11 orang lagi pemenang saguhati yang akan menerima RM200 beserta
sehelai jersi Yakult Tiger.

“Semua peserta boleh melayari Facebook kami di alamat Yakult Kb City League
untuk mengetahui senarai nama pemenang saguhati dan juga melihat video yang
telah dimuatnaikkan.

“Sekali lagi, bagi pihak penganjur, saya ingin merakam ucapan tahniah kepada
pemenang dan cuba lagi kepada yang kurang berjaya. Insya-Allah, kami akan
kembali lagi dengan cabaran yang lebih menarik lagi,” ulasnya.

Dalam perkembangan yang lain, Mohd Zuki yang juga Presiden The Red Warriors
City Club (TRWCC), mengesahkan liga Yakult KB City tetap akan disambung
biarpun terpaksa ditangguhkan dalam jangkamasa yang lama.

“Biarpun Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bercadang mahu meneruskan Liga
Malaysia (Liga-M) September depan, namun pihak kami perlu menunggu keputusan
daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Kelantan
sebelum membuat sebarang keputusan rasmi.

“Jika kami dibenar menyambung semula penganjurannya, beberapa syarat baharu
akan dikenakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan diputuskan
nanti. Namun jika masih terhalang, liga akan tetap disambung pada tahun 2021,”
tambahnya.

Untuk rekod, edisi sulung kejohanan ini disertai 12 pasukan yang dibahagikan
kepada dua kumpulan dan dijalankan secara liga. Kejohanan anjuran TRWCC
dengan kerjasama Yakult (M) Sdn. Bhd serta Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK)
ini sempat berlangsung selama dua minggu sebelum ditangguhkan akibat Penularan
wabak Covid -19.

Kredit Foto: Yakult KB City League