Pemain tengah, Nuri Sahin, mengumumkan persaraannya daripada peringkat antarabangsa untuk memberi ruang kepada pemain generasi baru menaikkan nama skuad Turki.

Pemain berusia 29 tahun itu menjaringkan gol ketika aksi pertamanya menentang Jerman pada tahun 2005, sekaligus muncul pemain paling muda yang beraksi dan menjaringkan gol buat Turki pada usia 17 tahun.

Dia melakukan 51 penampilan untuk pasukan negara tetapi satu-satunya perlawanan yang disertai dalam kejohanan utama adalah ketika tewas 0-3 di tangan Sepanyol dalam saingan EURO 2016.

Tonggak utama Borussia Dortmund itu kini mahu menggantung but buat skuad negara kerana mahu melihat bakat-bakat baru menyerlahkan bakat mereka.

"Saya yakin dengan kebolehan yang dimiliki generasi baru di Turki dan percaya sekiranya mereka meraih sokongan dan perancangan yang baik dalam masa 10 hingga 15 tahun, mereka boleh mengecapi kejayaan.

"Saya menamatkan karier bersama skuad Turki kerana mahukan mereka menjadi keutamaan.

"Dalam karier, saya meraih banyak peluang dan pengalaman berguna. Saya akan sentiasa berhubung dengan Persatuan Bolasepak Turki (TFF) dan bersedia untuk membantu," kata Sahin.

Antara faktor lain yang menyebabkan Sahin membuat keputusan untuk bersara adalah kegagalan Turki melayakkan diri ke pentas Piala Dunia 2018.