Atletico Madrid berang dengan Barcelona dan pemainnya sendiri, Antoine Griezmann, yang didakwa melakukan rundingan perpindahan secara rahsia Ferbuari lalu.

Penyerang Perancis itu telah lama dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou dan ia diperkuatkan lagi apabila Griezmann mengumumkan perancangannya untuk meninggalkan Atletico, Mei lalu.

Bagaimanapun, dia masih memiliki kontrak hingga 2023 dan setiap perbincangan yang dilakukan memerlukan persetujuan kelabnya.

Atletico berkata ia merupakan sesuatu yang "amat tidak dipersetujui" dengan mendakwa perbincangan di antara Barca dan Griezmann berlaku pada waktu yang tidak sepatutnya dan melanggar peraturan perpindahan.

Griezmann, 28, boleh meninggalkan Atletico dengan nilai €120 juta (RM557.3 juta) -- nilai klausa pelepasannya -- sewaktu jendela perpindahan yang boleh dimulakan oleh Barca.

Bagaimanapun, berdasarkan satu lagi dakwaan, Atletico berkata kelab Catalan itu telah meminta pembayaran itu ditangguhkan dan tawaran itu telah ditolak Los Colchoneros.

Berita mengenai pertemuan pegawai kedua-dua kelab itu terlebih dahulu disebarkan, awal pagi tadi ketika Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, membahas pelbagai isu dalam sidang media.

Ia selepas satu kenyataan yang dikeluarkan Atletico yang menyebut: "Pada 14 Mei lalu, Antoine Griezmann memberitahu (ketua eksekutif) Miguel Angel Gil, (ketua jurulatih) Diego Simeone dan (pengarah kesukanan) Andrea Berta, mengenai keputusannya untuk meninggalkan kelab kami pada akhir musim.

"Pada hari-hari berikutnya, Atletico Madrid mendapati bahawa Barcelona dan pemain itu telah mencapai kesepakatan sejak Mac lalu, secara khususnya pada hari-hari selepas perlawanan timbal balik di antara kami dan Juventus dalam Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia bermakna, mereka telah memulakan perbincangan sejak pertengahan Februari lalu.

"Mengenai kenyataan Presiden Bartomeu (Jumaat), kami ingin menyatakan, ia benar terdapat pertemuan di antara Miguel Angel Gil dan CEO Barcelona, Oscar Grau, atas permintaan Barcelona semalam.

"Dalam pertemuan itu, Grau menyatakan hasratnya, apabila klausa pelepasan kontrak Antoine Griezmann telah menurun dari €200j (RM928.9j) kepada €120m (RM557.3j), untuk menunda pembayaran dengan jumlah yang dinyatakan dalam klausa yang berkuat kuasa pada 1 Julai.

"Respons daripada pihak Atletico sudah pasti negatif, kerana kami percaya Barcelona dan pemain itu tidak menghormati Atletico Madrid dan seluruh peminatnya."

Atletico berkata Griezmann perlu kembali ke kelab itu untuk menjalani latihan pra-musim.

Kelab Wanda Metropolitani itu menambah: "Sebagai akibatnya, Atletico Madrid telah memaklumkan kepada pemain itu, kakaknya dan ejennya dan peguamnya, bahawa Antoine Griezmann, bersesuaian dengan kewajipan yang termaktub dalam kontraknya dengan kelab kami, harus hadir pada Ahad depan di fasiliti kelab untuk memulakan pra-musim dengan rakan sepasukannya yang lain.

"Melalui kenyataan ini, Atletico Madrid berhasrat untuk meluahkan kekecewaan terhadap tingkah laku kedua-duanya, khususnya Barcelona, kerana mendorong pemain untuk melanggar hubungan kontraknya dengan Atletico Madrid pada ketika kelab ini masih terlibat dalam perlawanan dengan Juventus dalam Liga Juara-Juara Eropah dan masih bersaing dengan Barcelona dalam saingan liga.

"Ia sesuatu yang kami percaya telah melanggar tempoh rundingan dengan pemain dan mengubah peraturan asas integriti dalam mana-mana pertandingan sukan, serta menyebabkan kerosakan besar terhadap kelab kami dan jutaan peminat."