Bekas penyerang sensasi negara, Safee Sali, bakal kembali berkelana ke Indonesia selepas sebuah kelab di negara itu membuat tawaran untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.

Safee bukan nama asing di Indonesia, dia telah mencipta nama bersama dua pasukan berbeza, iaitu Pelita Jaya pada 2011 dan Arema FC pada tahun berikutnya.

Sememangnya, ia bukan perkara mustahil untuk dia kembali ke sana setelah mendapat tawaran daripada salah satu bekas pasukannya itu.

"Saya sekarang bebas mencari pasukan baru dan ingin bermain. Saya masih lagi memiliki keinginan untuk bermain sekurang-kurangnya dua tahun lagi," kata Safee.

Safee semalam telah mengumumkan tidak lagi menyarung jersi PKNS FC selepas dua musim bersama pasukan itu.

Walaupun semakin dimamah usia, penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu masih mampu memberikan sumbangan besar berdasarkan pengalamannya.

"Memang pasukan tempatan masih belum berbincang mengenai karier saya dengan perkembangan kelab serta persatuan menghadapi masalah daripada segi kewangan mengakibatkan aktiviti perpindahan agak perlahan."