Safawi sedia sahut cabaran Vingada

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2017 829
Safawi sedia sahut cabaran Vingada
Tonggak muda skuad bola sepak negara, Safawi Rasid, bersedia untuk menggalas tugas sebagai penggempur utama dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong di tempat lawan, Selasa ini.

Aksi bertenaga Safawi ditagih selepas Ahmad Hazwan Bakri tidak sempat melaporkan diri ke kem kebangsaan akibat kecederaan, sebelum penyerang PKNP FC, Shahrel Fikri Fauzi, turut ditimpa masalah sama dalam sesi latihan pagi tadi. 

Situasi itu menyaksikan jurulatih negara, Nelo Vingada, hanya mempunyai Darren Lok untuk posisi penyerang utama, namun kelibat Safawi juga dilihat sebagai pilihan terbaik untuk memikul tanggungjawab merobek gawang Hong Kong.

"Saya tidak kisah posisi mana yang jurulatih letakkan saya kerana saya tetap akan berikan yang terbaik. Saya yakin gabungan pemain muda dan senior mampu menghadirkan keputusan positif buat Malaysia," kata Safawi.

Safawi merupakan antara enam pemain skuad Sukan SEA 2017 yang dipanggil menyertai skuad senior untuk berdepan Hong Kong, namun dia kini memburu penampilan keempat bersama skuad Harimau Malaya sejak kali pertama beraksi ketika bertemu Indonesia di Solo, September tahun lalu.

"Saya mahu buktikan kepada ketua jurulatih bahawa kami boleh bermain di tahap antarabangsa," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen