Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, Safawi Rasid, mengakui keserasian dalam pasukan semakin baik selepas dua minggu menjalani latihan bersama untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.

Ketiadaan Syafiq Ahmad yang digugurkan meletakkan Safawi antara penggempur utama skuad itu selain N. Thanabalan dan Jafri Firdaus Chew.

Mampu beraksi di posisi sayap mahupun penyerang, Safawi juga bakal membentuk gandingan berbeza bersama Akhyar Rashid dan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Sememangnya penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu perlu memainkan peranan penting selaku pemain senior dalam skuad muda negara dalam kejohanan itu nanti.

"Kami tiada masalah dan kini sedang memahami di antara satu sama lain, termasuk menyesuaikan diri dengan taktikal," katanya.

Lantas, Safawi berharap semua pemain, termasuk dirinya, mampu memanfaatkan dua destinasi latihan skuad muda negara iaitu di Mokpo, Korea Selatan dan Nanjing, China dalam usaha mereka meningkatkan prestasi masing-masing.

"Saya berharap kami dapat memperbaiki prestasi apabila menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di sana. Kami mahu menyesuaikan diri dan mengeluarkan apa yang ada di sana nanti," tambahnya.

Selepas mengadakan perlawanan persahabatan dengan PJ Rangers, skuad B-23 negara akan mengadakan pertemuan dengan Melaka, Khamis ini sebelum berlepas ke kem latihan di Korea Selatan, Ahad ini.