Dua jaringan Safawi Rasid ketika menewaskan Indonesia 2-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam umpama penutup termanis buat skuad negara.

Penyerang kelahiran Dungun itu akhirnya meledakkan gol selepas lima perlawanan peringkat kelayakan itu.

Sebelum ini, ada yang mula mempertikaikan keberkesanannya di depan gawang, namun dia menjawab persoalan itu dengan memecahkan keampuhan pertahanan Indonesia sebanyak dua kali.

Safawi menghasilkan sepakan percuma gemilang pada minit ke-29 dengan kaki kirinya -- persis yang sering dilakukan bintang Argentina, Lionel Messi -- untuk menggembirakan 75,000 penyokong di Stadium Nasional.

Dia kemudian menggandakan jaringan itu menerusi penyudah dari sudut sukar dalam babak kedua.

Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, bagaimanapun, lebih memilih untuk memuji persembahan pemainnya secara kolektif.

"Pemain sudah memaparkan aksi yang luar biasa.

"Bukan senang untuk berdepan Indonesia kerana mereka menurunkan pemain berbeza dalam perlawanan ini.

"Ia sudah pasti perlawanan yang sukar," katanya.