Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan menubuhkan akademinya sendiri tahun depan bagi memantapkan lagi program pembangunan bola sepak di Sabah.

Akademi yang dinamakan Akademi SAFA itu bakal berpusat di Kompleks Sukan Kota Kinabalu dengan dibiayai syarikat Petronas.

"Ini adalah antara usaha kita memantapkan lagi program pembangunan bola sepak di negeri ini," kata Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Api Api bersama SAF, di Luyang, Kota Kinabalu, semalam.

Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang juga Naib Presiden SAFA, Joehari Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab dari Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley, Neil Hart dan Guru Besar SK Api Api, Ag Ghani Ag Bakar.

Lawrence berkata penubuhan akademi itu juga selari dengan pembinaan padang latihan milik SAFA sendiri di kawasan Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

Terdahulu, beliau berkata karnival yang diadakan semalam adalah sebahagian daripada program pembangunan persatuan berkenaan yang dilaksanakan hasil kerjasama pihak sekolah yang dijadikan sekolah angkat badan induk bola sepak negeri ini.

Katanya, SK Api Api adalah sekolah angkat ketiga SAFA selepas SK Sri Gaya dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Chung Hwa, Likas.

Antara pengisian karnival yang turut disertai pemain dari SK Sri Gaya dan SRJK Chung Hwa itu adalah pertandingan bola sepak serta klinik bola sepak.

Lawrence berkata kehadiran pegawai dari Burnley itu adalah bagi membantu menjayakan program berkenaan dan sebagai suntikan galakan kepada pemain-pemain muda.