Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) bersetuju supaya kejohanan Piala Presiden dan Piala Belia dibatalkan tahun ini.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata persatuan itu juga telah memutuskan untuk menamatkan kontrak pemain bagi dua kejohanan berkenaan lebih awal, iaitu pada bulan depan.

"Kami telah memutuskan perkara ini, iaitu kontrak mereka (pemain Piala Presiden dan Piala Belia) diberhentikan serta-merta pada Jun ini.

"Bagaimanapun, pemain dalam dua kejohanan itu akan tetap diberikan peluang untuk kembali beraksi bersama pasukan sekiranya mereka masih mahu bermain pada tahun depan.

"Sekarang ini pun ada dalam kalangan mereka yang telah pulang ke rumah masing-masing dan kami harapkan usaha bakat-bakat muda ini tidak akan terhenti, teruskan usaha dan kekalkan kecergasan diri masing-masing, mudah-mudahan tahun depan mereka dapat beraksi lagi," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu.

Dalam perkembangan lain, Peter berkata pihak SAFA juga masih menunggu keputusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama ada Liga Super akan diteruskan atau tidak.

"Buat masa ini, kesemua pemain juga masih menjalani latihan kecergasan di kediaman masing-masing.

"Secara dasarnya, apa yang kami difahamkan, liga mungkin diteruskan pada September atau Oktober depan tapi kami akan tunggu keputusan daripada FAM sebelum sebarang keputusan daripada pihak kami dibuat," katanya.