SABAH QUILMES 2 PETALING PUTRA 1

Wakil Borneo, Sabah Quilmes FC, membuka langkah kanan dalam aksi kumpulan A kelayakan Liga Futsal Kebangsaan 2017 selepas menewaskan KL Petaling Putra FC 2-1 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.


Kedua-dua pasukan turun dengan keazaman tinggi untuk memburu kemenangan bagi melayakkan diri ke kejohanan itu bermula Februari depan.

Begitupun, kehebatan Sabah Quilmes terlebih dahulu menyerlah apabila membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi Wan Zulkefli Wan Hanafiah.

Tersentak dengan gol itu, KL Petaling Putra cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, bagaimanapun, beberapa peluang yang terhidang gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Sebaliknya, Sabah Quilmes berjaya menambah jaringan pada minit ke-28 hasil penyudah Almughni Suciardi Sharial.

Enggan mengaku kalah, KL Petaling Putra bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-34 menerusi Abdul Hakim Siswazair.

Namun, kebangkitan itu sudah terlewat untuk menafikan tiga mata penuh milik Sabah Quilmes.

Walaupun tewas, jurulatih KL Petaling Putra FC, Shafiq Ezdee Nordin, tetap optimis pasukannya akan menepati sasaran untuk mara ke separuh akhir.

"Kami masih ada dua pemain gantian yang belum diturunkan. Kalau strategi ini berjaya, pemain yang turun dalam perlawanan pertama ini akan direhatkan untuk pertemuan kedua nanti. Insya-Allah, kami akan pergi ke separuh akhir," katanya.

Sementara itu, jurulatih Sabah Quilmes FC, Zamry Mokhtar, berkata: "Kami menetapkan sasaran untuk mara ke separuh akhir bagi membawa nama pelajar-pelajar politeknik walaupun kami di bawah nama Quilmes FC."