Pasukan Sabah masih mencari pemain import bagi mengisi tiga slot yang ditinggalkan pemain terdahulu untuk cabaran musim depan.

Mengakui kesuntukan masa, ketua jurulatihnya, Jelius Ating, berharap akan menemui pemain import yang memenuhi cita rasanya.

Setakat ini, tinggal lapan pemain import yang masih menjalani ujian pemilihan, termasuk bekas pemain pasukan itu dari Korea Selatan, Heo Jaenyong.

"Kami agak ketinggalan dari segi persiapan kerana berlaku perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan sebelum ini.

"Sehubungan itu, kami perlu bekerja dua kali ganda daripada biasa dan sudah pasti antara keutamaan ketika ini adalah bagi mengisi slot pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.

"Saya berharap kami akan dapat membentuk pasukan yang lengkap pada minggu kedua bulan Januari," katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Sabah perlu mengisi tiga lagi slot pemain import selepas kini memiliki penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic, yang masih memiliki kontrak sehingga pertengahan musim baru nanti.

Jelius berharap akan dapat mengikat seorang pertahanan, seorang pemain tengah dan seorang penyerang daripada kesemua pemain import yang sedang menjalani pemilihan itu.