Sabah berharap mampu melahirkan jaguh dunia dalam sukan golf menerusi program pembangunan belia sukan berkenaan yang mula dilaksanakan sejak awal tahun lalu.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata program itu kini disertai seramai 80 pelatih yang berusia dalam lingkungan lapan hingga 12 tahun di seluruh Sabah.

"Visi program ini adalah untuk melahirkan pemain golf berkualiti pada tahun 2028 dan kami harap pada masa itu, kita akan ada pemain golf yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi Nexus Golf Resort Karambunai di pejabatnya, baru-baru ini.

Kunjungan hormat itu diketuai pengarah operasi golf resort berkenaan, Steven Cheah, dan Pengurus Besar Nexus Karambunai, Muhamad Irwan Goh.

Turut hadir, Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Awang Damit Ag Anak.

Sementara itu, Tawfiq turut memuji Nexus Golf Resort Karambunai dalam membantu program pembangunan belia sukan itu dengan menyediakan kemudahan secara percuma.

"Ini satu usaha yang baik dan kami harap kelab-kelab golf lain turut mengikut jejak Nexus Golf Resort Karambunai ini," katanya.

Terdahulu, Steven berkata Nexus Golf Resort Karambunai akan menyokong sepenuhnya usaha kementerian itu dalam membangunkan sukan golf di negeri tersebut.

"Kemudahan golf di Nexus Golf Resort Karambunai juga telah dinaiktaraf dan kami sangat mengalu-alukan kehadiran pelatih dalam program berkenaan untuk bermain serta berlatih di situ...ini juga salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nexus Karambunai," katanya.