Yussuf Poulsen mendedahkan ia merupakan 'saat terbaik' selepas RB Leipzig melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

Sepakan Tyler Adams yang terbias pada minit ke-88 membenarkan Leipzig menang 2-1 ke atas Atletico Madrid dalam aksi suku akhir, awal pagi tadi.

Jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Joao Felix menafikan jaringan pembukaan Dani Olmo di Lisbon, tetapi Leipzig –- yang dibentuk 11 tahun lalu -- mara ke separuh akhir.

Poulsen, yang tiba di kelab pada 2013, gembira dengan peningkatan Leipzig, selepas bersaing di divisyen kelima Jerman pada 2009-10.

"Anda tidak boleh menulis kisah yang lebih baik. Ia merupakan hari yang penting dan saat yang terbaik -- kami akan menikmatinya," katanya.

"Satu lagi perlawanan yang menarik perlu dihadapi selepas ini, kami merupakan pasukan yang lebih baik dan berhak layak ke separuh akhir."



Adams bertindak sebagai wira apabila percubaannya pada minit ke-88 terkena pertahanan lawan, Angelino sebelum melepasi gawang.

Poulsen memuji Leipzig di atas respon daripada jaringan penyamaan Joao Felix pada minit ke-71 buat Atletico.

"Semua pemain telah memberikan yang terbaik, dan kami telah melakukannya dengan sempurna.

"Joao Felix seorang pemain yang cemerlang, tetapi selepas jaringannya kami kekal tenang dan menghasilkan peluang."

RB Leipzig berdepan Paris Saint-Germain dalam separuh akhir minggu depan.