Bekas penyerang kebangsaan, Roman Pavlyuchenko, menyifatkan Russia 2018 bakal menjadi penganjuran Piala Dunia yang terbaik dalam sejarah.

Saingan bola sepak terbesar dunia itu akan bermula lapan bulan dari sekarang, dengan 15 pasukan sudah melayakkan dri ke saingan 32 pasukan itu.

Tetapi kebimbangan terus menghantui saingan Piala Dunia ini, yang bakal bermula pada 14 Jun tahun depan, yang berkemungkinan dicemari masalah isu perkauman, gejala samseng dan homophobia.

Bagaimanapun, Pavlyuchenko – bekas penyerang Tottenham yang bermain bersama Russia sebanyak 51 kali, percaya negaranya bakal menampilkan kejohanan terbaik.

"Saya benar-benar yakin bahawa penyokong sangat menantikan Piala Dunia dan ia akan menjadi penganjuran terbaik dalam sejarah. Semua penyokong yang hadir akan menikmatinya," katanya.

"Terdapat tanggapan yang salah terhadap Russia yang bakal melihat ramai yang hadir akan dicederakan ataupun diserang. Saya pasti semua perkara ini tidak akan berlaku.

"Saya berpendapat sesiapa yang menyaksikan Piala Dunia di Russia nanti tidak mahu meninggalkan tempat ini. Ia akan menjadi Piala Dunia yang dikenang buat jangka masa panjang," katanya lagi.

Sebanyak 15 pasukan yang telah melayakkan diri ke Piala Dunia setakat ini adalah Russia, Brazil, Iran, Jepun, Mexico, Belgium, Korea Selatan, Arab Saudi, Jerman, England, Sepanyol, Nigeria, Costa Rica, Poland dan Mesir.