Ketua Eksekutif Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge, percaya bahawa RB Leipzig sepatutnya menerima lebih penghormatan dan penyertaan mereka dalam Bundesliga perlu dilihat sebagai perkara positif.

Leipzig merupakan salah satu pasukan yang tidak begitu dipandang ramai pada musim lalu selepas diambil-alih oleh Red Bull menerusi perjanjian yang menyaksikan ahli kelab perlu mempunyai pengaruh dalam bahagian pengurusan.

Bagaimanapun, mereka mencipta kejutan apabila menampilkan aksi terbaik dalam penampilan musim 2016/17, dengan menamatkan saingan liga di tangga kedua untuk melayakkan diri ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Ketika ada pihak yang tidak gembira dengan perkembangan skuad kendalian Ralph Hasenhuttl itu, Rummenigge jelas teruja dengan pesaing baru peringkat domestik itu.

"Saya menghormati Leipzig atas beberapa sebab. Pertama, mereka bekerja keras dan anda boleh lihat hasilnya.

"Leipzig beraksi cemerlang dalam Bundesliga. Mereka mudah mendapatkan penghormatan dan Bundesliga sepatutnya gembira," kata Rummenigge.

Leipzig bakal menentang Bayern untuk kali kedua dalam seminggu, esok, bagi saingan Bundesliga, selepas tewas dalam aksi DFB Pokal menerusi penentuan sepakan penalti.

Anak-anak buah Hasenhuttl kini menduduki tangga ketiga liga selepas sembilan perlawanan, satu mata di belakang pendahulu yang berkongsi mata, Bayern dan Borussia Dortmund.