Ruhaled: Semua pemain wajar terima pujian

Oleh Farizal Yusoff 6 November 2017 1473
Ruhaled: Semua pemain wajar terima pujian
Juara bertahan, Gua Musang FC, membuktikan kehebatan apabila membelasah Kota Bharu 9-2 dalam aksi berat sebelah dalam saingan Kumpulan Empat, Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Zon Timur di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Skuad kendalian Ruhaled Ab Hamid itu selesa mendahului 4-1 dalam separuh masa pertama sebelum mengamuk dengan lima lagi jaringan untuk  membawa pulang tiga mata penuh. Dua jaringan sagu hati tuan rumah dijaringkan pada minit ke-41 dan 48.

Ruhaled jelas gembira dengan kemenangan besar ke atas Kota Bharu sambil memuji jentera serangan yang diketuai Mohd Azizul Hakimi setelah berjaya menyudahkan setiap peluang terhidang.

“Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan gol awal melalui kapten (Mohd Azizul hakimi Che Rosdin) dan menyebabkan benteng pertahanan Kota Bharu agak tertekan.

“Gol kedua jaringan Mohamad Azli Mat pada minit ke-10 menjadi titik tolak kemenangan besar Gua Musang ke atas Kota Bharu. Semua pemain beraksi dengan baik dan berhak menerima pujian,” katanya.

Ruhaled juga yakin kemenangan besar ini menjadi motivasi terbaik anak buahnya untuk menghadapi skuad Kuala Krai, 18 November depan.

“Kami akan membuat persiapan terbaik menentang Kuala Krai di gelanggang sendiri dan kemenangan akan mengesahkan Gua Musang ke peringkat kalah mati," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen