Rossi lega terlepas penggantungan doping

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2018 107
Rossi lega terlepas penggantungan doping
Bekas pemain Manchester United dan Itali, Giuseppe Rossi, meluahkan kelegaan setelah terlepas daripada penggantungan susulan kes doping.

Rossi, yang kini tidak memiliki sebarang kelab, dilaporkan positif bahan dorzolamide yang ditemui dalam ubat mata selepas Genoa tewas 1-0 di tangan Benevento dalam aksi Serie A, Mei lalu.

Dia dilaporkan bakal digantung selama setahun tatkala kes itu dikendalikan oleh agensi anti-doping Itali, Nado Italia.

Namun, sesi pendengaran semalam menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu terlepas daripada penggantungan, sekali gus membuatkannya bebas untuk menandatangani untuk mana-mana pasukan dan kembali beraksi.

"Kami tidak pasti bagaimana bahan ini boleh berada dalam makanan Rossi," kata peguam Rossi, Sergio Puglisi Maraja.

"Ia bukan tindakan berniat."

Rossi, yang pernah mewakili Fiorentina, Villareal dan Celta Vigo, menyatakan rasa gembira melalui laman Twitter miliknya selepas terlepas daripada penggantungan.

"Mimpi ngeri selama empat bulan telah berakhir!" ujar Rossi.

"Saya hanya memikirkan tentang bola sepak dan mahu terus lakukan apa yang saya sayangi!"

Rossi meninggalkan Genoa di penghujung musim lalu selepas hanya mampu menyumbat satu gol di peringkat liga hasil sembilan penampilan.

Dia melakukan 30 penampilan bersama Itali dan menyumbat tujuh gol tetapi tidak beraksi buat skuad Azzurri sejak perlawanan persahabatan menentang Republik Ireland pada 2014.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen