Rooney ucap selamat tinggal dengan kemenangan

Oleh Penulis Jemputan 16 November 2018 3910
Rooney ucap selamat tinggal dengan kemenangan
ENGLAND 3 AMERIKA SYARIKAT 0

Wayne Rooney mengakhiri karier antarabangsa bersama England dengan kemenangan 3-0 ke atas Amerika Syarikat (AS) dalam aksi persahabatan di Stadium Wembley, awal pagi tadi.


Pengurus pasukan, Gareth Souhthgate, memberi penghormatan buat penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu masuk menggantikan Jesse Lingard pada minit ke-58.

Keputusan itu, bagaimanapun, mengundang kontoversi sebelum perlawanan dengan Peter Shilton mengatakan bahawa penampilan bersama pasukan tidak boleh diberikan seperti hadiah.

Rooney diberikan plak emas sebelum sepak mula.

Dia turut diberikan sambutan hangat dan Southgate tidak teragak-agak memberikan penghormatan kepada individu yang banyak berjasa buat bola sepak England itu.

Jadon Sancho, yang membuat penampilan pertama selaku kesebelasan utama England, memaparkan aksi cemerlang dengan menjadi pencetus kepada jaringan antarabangsa pertama Trent Alexander-Arnold, tidak lama selepas Lingard membuka tirai jaringan buat tuan rumah.

Seorang lagi muka baru, Callum Wilson, menjaringkan gol dalam separuh masa kedua untuk menutup malam gemilang England yang mampu menjadi lebih manis andai Brad Guzan tidak menafikan jaringan Rooney pada masa kecederaan.

England -- melakukan lapan pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Sepanyol 3-2 dalam Liga Negara-Negara -- hampir menemui jaringan awal apabila penjaga gol AS, Guzan, gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sebelum sepakan lintang Sancho gagal disudahkan Wilson.

Christian Pulisic menghasilkan larian cemerlang menerusi hantaran terusnya sendiri, namun dihalang penjaga gol England, Jordan Pickford.

Lingard membuka jaringan pada minit ke 25 menerusi satu sepakan lencong dari bahagian kiri padang sebelum Sancho melorongkan bola yang dirembat kencang Alexander-Arnold untuk menewaskan Guzan, tidak lama selepas itu.

Tempo perlawanan bertukar perlahan dalam babak kedua dan Rooney dibawa masuk pada minit-58.

Wilson menjadi penjaring tunggal dalam babak itu selepas menyudahkan hantaran lintang Fabian Delph.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen