Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, percaya penjaring sepanjang zaman dan bekas ketua pasukan, Wayne Rooney, mampu mengemudi The Red Devils pada masa depan.

Rooney akan bertembung dengan United apabila Derby County mengalu-alukan pasukan kendalian Solskjaer itu di Pride Park dalam pusingan kelima Piala FA, awal pagi esok.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak lima kali dan Liga Juara-Juara (UCL) itu meninggalkan United pada 2017 dan kini membarisi pasukan Liga Kejuaraan, Derby, sebagai jurulatih sejak Januari lalu selepas beraksi dalam kancah MLS DC United.


"Ya," kata Solskjaer ketika ditanya sama ada Rooney, 34, berkebolehan bertindak sebagai pengurus.

"Ia bergantung kepada sejauh mana usaha anda dan berapa banyak yang anda hajati.

"Ia mengambil alih hidup anda tetapi ia adalah perkara terbaik kedua selepas beraksi. Saya yakin terdapat ramai bekas pemain dan pengurus yang inginkan tugas saya ini."

Rooney mendahului carta jaringan United dengan 253 gol dalam 559 penampilan.

Sejak berhijrah ke Derby, bekas kapten England dan pencetak gol terbanyak negara itu telah menyumbat empat gol.

Rooney telah mencetak tiga gol dan membekalkan dua bantuan jaringan buat Derby yang kini menduduki tangga ke-13.

Sementara itu, United menghuni tangga kelima EPL dan tiga mata di belakang Chelsea yang menguasai tiket terakhir UCL.

Mereka -- ketinggalan 37 mata di belakang pendahulu, Liverpool -- akan menjadi tuan rumah kepada Manchester City dalam pertembungan 'derby' di Old Trafford, awal pagi Isnin depan.