Wayne Rooney akan membuat penampilan pertama sejak dua tahun lalu selepas disenaraikan dalam skuad England berdepan Amerika Syarikat di Wembley.

Kali terakhir bekas kapten Three Lions itu menyarung jersi England adalah pada November 2016 tetapi dia akan kembali beraksi buat kali ke-120 dan penampilan terakhir untuk negaranya berdepan AS.

Rooney bersara daripada saingan antarabangsa pada Ogos 2017 selaku pemegang rekod jaringan England di samping menjadi pemain paling banyak berkhidmat bersama skuad kebangsaan.

Dia, bagaimanapun, tidak akan mengambil bahagian dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Croatia di Wembley, tiga hari selepas perlawanan bertemu AS itu.

"Saya sangat gembira dan teruja untuk kembali beraksi untuk England di Wembley. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Gareth Southgate dan Persatuan Bolasepak England kerana menjemput saya kembali beraksi," kata Rooney.

"Bermain untuk England adalah penghormatan terbesar dalam kerjaya saya -- beraksi buat kali ke-120 dan yang terakhir, ia akan menjadi satu saat yang indah bagi saya.

"Saya sangat kagum dengan perkembangan skuad muda England. Saya berharap dapat berkongsi pengalaman bersama mereka."

Rooney menyertai DC United pada Jun lalu dan mencetus inspirasi buat kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) itu untuk layak beraksi dalam perlawanan playoff.

Bertemu Columbus Crew, Rooney gagal menjaringkan gol ketika DC tewas menerusi penentuan penalti selepas perlawanan berakhir 2-2.