Wayne Rooney akan turun dalam kesebelasan utama England selaku kapten apabila berdepan Malta dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018, kata pengendali sementara, Gareth Southgate.

Pemain berusia 30 tahun itu masih belum disenaraikan dalam kesebelasan utama Manchester United sejak melakar kemenangan 3-1 ke atas Northampton Town dalam saingan Piala EFL bulan lalu.

Rooney sekadar masuk selaku pemain gantian ketika berdepan Leicester dan Stoke City.

Southgate sedia menurunkan Rooney dalam kesebelasan utamanya, namun masih belum mengesahkan sama ada pemain itu akan beraksi di bahagian tengah atau selaku pemain penyerang.

Ditanya sama ada Rooney akan meneruskan watak selaku kapten, Southgate berkata: "Ya, dia akan meneruskan tanggungjawab itu. Saya harap dia akan memainkan peranan itu dengan berkesan.

"Saya tahu semua pihak mahu mengetahui siapakah yang akan menjadi pilihan utama saya tetapi saya enggan pihak lawan mengetahui perkara itu.

"Rooney berupaya mengawal permainan, pengalamannya sangat berharga. Saya menjangkakan kami untuk menguasai perlawanan.

"Pemain perlu bersabar dan kekal dengan taktikal diterapkan tidak kira siapa pun yang menjadi pihak lawan. Gol awal mungkin akan hadir tetapi jika itu tidak berlaku, penting untuk pemain mengikut arahan saya.

"Saya mahu melihat pasukan England yang berani, tidak takut apabila berada dalam situasi satu lawan satu."

Sementara itu, Theo Walcott turut disahkan bakal turun selaku kesebelasan utama susulan telah meledak lima gol dalam lapan penampilan bersama Arsenal musim ini.