Wayne Rooney menegaskan dia tidak akan terbawa-bawa dengan isu mengenai peranannya bersama pasukan England.

Pemangku jurulatih England, Gareth Southgate, mengesahkan Rooney akan terus mengetui pasukan itu selepas ketiadaan Sam Allardyce, biarpun dia kehilangan tempat dalam kesebelasan Manchester United.

Persembahan Rooney ketika di bawah kendalian Allardyce -- kemenangan 1-0 ke atas Slovakia pada lewat permainan dalam kelayakan Piala Dunia -- dikritik hebat, terutama selepas pengurus itu berkata dalam sidang media selepas perlawanan, 'Wayne beraksi di mana yang dia mahukan'.

Sejak diletakkan sebagai pemain tengah untuk United pada penghujung saingan musim lepas dan ketika Euro 2016, posisi terbaik Rooney kekal menjadi perdebatan, berikutan aksinya sebagai watak jersi nombor 10, sehingga Jose Mourinho terpaksa merehatkannya di Old Trafford.

Ditanya sama ada dia akan memulakan permainan ketika berdepan pasukan kerdil, Malta, yang berkunjung ke Wembley untuk aksi Kumpulan F hujung minggu ini, Rooney berkata, "Saya tidak pasti. Saya rasa soalan itu perlu ditanya kepada Gareth.

"Dan juga satu lagi soalan mengenai posisi saya bersama England -- soalan mengenai sama ada saya akan beraksi sebagai penyerang, pemain tengah atau nombor 10, ia semakin memenatkan.

"Saya sudah menjawabnya banyak kali dan setiap kali pun, jawapannya tetap sama. Saya akan beraksi sebagaimana yang diarahkan oleh pengurus.

"Saya tidak memilih diri sendiri, tidak pernah sekali pun untuk England. Saya bermain mengikut arahan dan saya pasti arahan yang diberikan Gareth kepada saya -- sama ada bermain atau tidak -- saya akan cuba memberikan yang terbaik untuk mengikuti arahan itu."