Bekas pengendali England, Sven-Goran Eriksson, menyifatkan Wayne Rooney berhak menerima layanan terbaik England sama seperti Francesco Totti untuk Itali.

Rooney bersara daripada aksi antarabangsa pada Ogos lalu selepas mencetak 53 gol dalam 119 penampilan, sekaligus menjadi pemain yang paling banyak beraksi untuk England.

Tetapi penyerang Everton itu sering kali dikritik di sebalik persembahan yang telah dipamerkan untuk skuad kebangsaan sepanjang kariernya.

Eriksson yang mengendalikan England dari 2001 hingga 2006, percaya Rooney berhak menerima layanan yang lebih baik -- membandingkan pemain berusia 31 tahun itu dengan legenda Itali dan Roma, Totti.

"Layanan yang diberikan kepada Wayne Rooney adalah sama seperti penyokong-penyokong melihat skuad kebangsaan mereka," katanya.

"Dia adalah penjaring terbanyak Manchester United dan England, anda tidak boleh menafikan perkara itu.

"Jika Rooney seorang pemain dari Itali, dia akan disayangi dan dihormati sepertimana Roma menyanjungi Totti," katanya.

England telah mara ke Russia 2018 dan memasang impian untuk menjulang Piala Dunia buat kali kedua sejak pertama kali melakukannya pada 1966.