Pengurus sementara, Gareth Southgate, mengesahkan kapten England, Wayne Rooney, diketepikan daripada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 berdepan Slovenia.

Pemegang rekod penjaring terbanyak England, Rooney, yang hanya meledak satu gol dalam 12 penampilan bersama kelab dan negara musim ini, telah dicemuh kerana beraksi di bahagian tengah ketika The Three Lions menang 2-0 ke atas Malta di Wembley pada Sabtu.

Pemain Liverpool, Jordan Henderson, akan mengambil alih tugas selaku kapten pasukan ketika ketiadaan Rooney, yang juga bakal bergandingan dengan Eric Dier dalam pertemuan aksi Kumpulan F.

"Saya memahami dan menghormati keputusan pengurus dan saya akan terus memberikan sokongan kepada pemain dan kekal bersedia jika khidmat saya diperlukan," kata Rooney.

"Kami berharap untuk meraih tiga mata. Saya tetap berbangga untuk bermain bersama England, tidak kira dari bangku pemain simpanan mahupun dalam kesebelasan utama."