Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, berkata dia tidak pernah menyangka akan muncul pemain pertama untuk meledak 100 gol dalam kejohanan peringkat kelab Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Pemain berusia 32 tahun itu mencapai angka tersebut selepas dua golnya membantu Real Madrid mengatasi Bayern Munich 2-1 di Allianz Arena dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara, kelmarin.

Ronaldo dianugerahkan jersi peringatan oleh presiden kelab, Florentino Perez, selepas mencatat rekod itu dalam kariernya.

Bekas pemain Manchester United itu berbesar hati dengan penghormatan tersebut, dan berkata: "Menjaringkan 100 gol di Eropah adalah satu penghormatan. Ini adalah hari yang istimewa untuk melakar kemenangan berharga.

"Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama Real Madrid dalam melakukan pencapaian ini.

"Ketika saya mula menjaringkan gol di peringkat Liga Juara-Juara, saya tidak pernah menjangkakan pencapaian ini."

Sementara itu, Ronaldo berpendapat kegagalan Arturo Vidal menyempurnakan sepakan penalti menjadi pemangkin kebangkitan Madrid dalam babak kedua.

"Bayern memulakan perlawanan dengan cukup baik," katanya.

"Tetapi selepas mereka gagal menjaringkan sepakan penalti, kami sedar peluang untuk bangkit sudah tiba.

"Saya menggambarkan gol yang dijaringkan sebagai mengujakan dan selepas menjaringkan dua gol, saya sangat gembira kerana membantu Real Madrid untuk melakar kemenangan. Saya berharap dapat mengulanginya di Santiago Bernabeu."